KUALA LUMPUR – Pelumba berpengalaman negara, Hafizh Syahrin Abdullah terus melakar pencapaian cemerlang selepas mengesahkan takhta kejuaraan kategori elit ASB1000 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2025 di Litar Buriram, Thailand semalam.
Pada perlumbaan terakhir itu, bekas pelumba kelas MotoGP berkenaan memastikan gelaran menjadi miliknya selepas menamatkan saingan di tempat kedua di belakang pelumba tuan rumah, Nakarin Atiraphuvapat dari pasukan Honda Racing Thailand.
Pelumba JDT Racing itu menamatkan kempen musim ini dengan mengutip 193 mata keseluruhan, mengatasi Nakarin yang terpaksa berpuas hati sebagai naib juara menerusi perbezaan tiga mata.
Pelumba berusia 31 tahun itu menyuarakan rasa gembira atas kemenangan yang diraih selain menganggap kerja keras mereka selama ini membuahkan hasil apabila dia kini bergelar ‘Raja Asia’ ASB1000 bagi saingan ARRC.
“Alhamdulillah, akhirnya kerja keras selama ini membuahkan hasil. Apa yang berlaku ketika perlumbaan di Sepang sebelum ini membuatkan kami datang ke sini dengan semangat juang yang lebih tinggi.
“Seperti saya katakan sebelum ini, memang tidak ada penyesalan. Hari ini (semalam), saya hanya berikan yang terbaik semasa perlumbaan walaupun sedar ada empat jentera Honda di grid,” ujar Hafizh.
Semasa perlumbaan berlangsung, Nakarin bersaing hebat dengan pelumba lain sebelum melintasi garisan penamat sebagai pemenang, diikuti Hafizh di tempat kedua manakala Md. Zaqhwan Zaidi dari Idemitsu Honda Racing Malaysia di tempat ketiga.
“Tahniah kepada Hafizh Syahrin atas kejayaan menjadi juara keseluruhan bagi saingan 2025 untuk kategori ASB1000. Kerja keras sentiasa menewaskan bakat setiap masa,” ujar JDT Racing. – KOSMO! ONLINE














