ABU DHABI – Lando Norris menyifatkan gelaran dunia Formula Satu (F1) pertamanya sebagai kemenangan paling bermakna dalam kariernya selepas menggapainya dengan ‘cara tersendiri’ tanpa perlu meniru gaya agresif mana-mana juara terdahulu.
Pemandu McLaren berusia 26 tahun itu menegaskan, kejayaan tersebut lebih istimewa kerana dia tetap berpegang pada identiti sebagai pelumba yang jujur dan kekal memegang prinsip perlumbaan adil sepanjang musim.
“Saya menang dengan cara yang saya mahukan, bukan dengan menjadi seseorang yang bukan diri sendiri. Saya menjadi pemandu yang adil dan jujur” katanya.
Norris mengakui dia sedar ada ketika dia boleh bertindak lebih agresif untuk memintas tetapi pendekatan itu tidak selari dengan prinsip serta gaya pemanduannya.
Gelaran itu melengkapkan kejayaan berganda McLaren sejak kali terakhir melakukannya pada 1998 selepas Norris memastikan kejuaraan menerusi penamat tempat ketiga pada Grand Prix (GP) Abu Dhabi di Litar Yas Marina malam tadi.
Dalam perlumbaan penuh taktikal itu, Norris menamatkan saingan di belakang pemenang, Max Verstappen serta rakan sepasukannya, Oscar Piastri sekali gus memastikan gelaran dunia miliknya dengan kelebihan dua mata.
Verstappen pula terpaksa melepaskan takhta selepas empat tahun berturut-turut mendominasi kejuaraan dunia sejak 2021.
Dalam masa sama, Norris berkata, kejayaan itu lebih bermakna kerana ia membahagiakan ramai pihak yang menyokongnya dari awal karier hingga kini.
“Saya bangga bukan sebab saya boleh bangun esok dan berkata ‘saya kalahkan semua orang’. Namun, saya puas kerana saya dapat membuatkan ramai orang gembira,” katanya. – AFP














