LEEDS – Kegagalan Liverpool mencatat kemenangan selepas diikat Leeds United 3-3 di Elland Roads dibayangan kenyataan pedas bintang sensasinya, Mohamed Salah yang dilihat sudah hilang sabar selepas diletakkan di bangku simpanan dan tidak digunakan.
Pada perlawanan tersebut, skuad kendalian Arne Slot selesa mendahului menerusi dua gol Hugo Ekitike sebelum Leeds memadam kelebihan tersebut dan Dominik Szobloslai kembali meletakkan mereka di depan, tetapi Ao Tanaka meranapkan impian kemenangan menerusi gol penyamaan pada masa kecederaan.
Keputusan itu nyata mengecewakan Liverpool apabila mereka turun dengan hasrat untuk meraih kemenangan pada aksi kali ini selepas sekadar seri menentang Sunderland pada pertengahan minggu lalu.
Bagaimanapun, dakwaan yang dikeluarkan oleh Salah lebih mencuri tumpuan apabila dia menuduh Liverpool telah menjadikannya ‘kambing hitam’ ekoran prestasi tidak menentu pasukan itu sekali gus memberikan bayangan samar mengenai masa depannya di Anfield.
“Saya tidak percaya saya duduk di bangku simpanan selepas 90 minit. Ini adalah kali ketiga saya tidak bermula sebagai kesebelasan utama dan pertama kali berlaku dalam karier saya. Situasi ini sangat mengecewakan selepas saya melakukan segala-galanya untuk kelab ini.
“Saya seperti dikhianati dan saya fikir ada seseorang yang mahu saya menjadi objek untuk dipersalahkan dengan prestasi semasa pasukan. Saya mempunyai hubungan yang baik dengan pengurus, tetapi secara tiba-tiba ia hilang,” katanya.
Salah hanya meledak empat gol musim ini dan berdepan kritikan hebat apabila dilihat gagal membantu benteng pertahanan menyebabkan pasukan itu gagal beraksi secara konsisten
“Saya tidak fikir saya memberikan masalah kepada kelab ini. Saya telah memberikan segala-galanya untuk Liverpool.
“Saya masih ingat, ketika Harry Kane gagal mendapatkan gol dalam 10 perlawanan, media yakin bahawa Harry akan menemui sentuhan jaringan, tetapi apabila situasi itu berlaku kepada saya, mereka katakan ‘dia perlu diletakkan di bangku simpanan,” jelasnya kecewa. – AGENSI














