LONDON – Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal kehilangan kelebihan lima mata di takhta selepas berdepan kekalahan mengejut 1-2 kepada Aston Villa di Villa Park, kelmarin sekali gus menyaksikan kedudukan mereka mula goyah.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menjelaskan, para pemain seharusnya menyalahkan diri sendiri ekoran keputusan mengecewakan tersebut apabila gagal mempamerkan fokus dan aksi terbaik sepanjang perlawanan.
Menurutnya, kelemahan dalam melakukan tindakan susulan dengan lebih sempurna termasuk mengeluarkan bola dalam situasi bahaya akhir menjerat diri apabila ia berjaya dimanfaatkan oleh Villa.
“Pada babak kedua, kami bermula dengan baik, mendominasi namun isu lama kembali berulang. Kami membenarkan lawan mendapat lebih banyak ruang, sering hilang bola dan pastinya ia nyata merugikan kami sendiri
“Berpunca sepakan daripada penjaga gol lawan, kami sepatutnya mampu keluarkan bola daripada kawasan bahaya. Berlaku kekalutan dalam kotak penalti dan akhirnya kami menerima padah,” katanya.
Terdahulu, Matty Cash meletakkan Villa di depan, namun disamakan oleh Leandro Trossard sebelum Emi Buendia mencetak namanya selaku wira tuan rumah dengan menghasilkan gol kemenangan pada masa kecederaan babak kedua.
Kemenangan kali ini juga menyaksikan Villa melonjak ke tangga ketiga EPL kini hanya dipisahkan tiga mata berbanding The Gunners yang kekal mendahului carta.
“Kami perlu fokus kepada diri kami sendiri dan secara individu, ada pemain yang tidak mencapai standard sepatutnya. Jadi sekarang kami perlu lakukan sekali lagi,” katanya. – AGENSI














