BERLIN – Harry Kane sekali lagi membuktikan statusnya sebagai penggempur sensasi Bayern Munich apabila masuk dari bangku simpanan untuk meledak hatrik pantas, sekali gus membelasah Stuttgart 5-0 dalam aksi Bundesliga awal pagi kelmarin.
Berehat pada separuh masa pertama susulan jadual padat lima perlawanan dalam tempoh dua minggu, Kane hanya memerlukan 45 minit untuk mengubah rentak perlawanan dan memadamkan tentangan agresif Stuttgart.
“Saya memang suka bermain sepanjang 90 minit, tetapi tugas saya hari ini adalah membantu dari bangku simpanan dan itu yang paling penting.
“Apabila jadual terlalu padat, tidak mungkin barisan yang sama bermain setiap perlawanan, jadi pemain yang masuk perlu kekalkan standard dan kami berjaya lakukannya,” kata Kane.
Bayern yang merehatkan Manuel Neuer, Kane dan Jonathan Tah bermula garang apabila Konrad Laimer membuka jaringan minit ke-1, namun Stuttgart bangkit mencari gol penyamaan, namun jaringan Nikolas Nartey dibatalkan VAR selepas semakan panjang.
Segala-galanya berubah sebaik Kane dimasukkan pada babak kedua apabila penyerang England itu menggandakan kedudukan menerusi rembatan leret dari luar kotak penalti sebelum Josip Stanisic menambah gol ketiga.
Kane kemudian menambah dua lagi gol, menerusi penalti selepas insiden bola terkena tangan Lorenz Assignon sebelum melengkapkan hatrik dengan sentuhan mudah pada minit akhir sekali gus mengumpul 17 gol liga dan 28 keseluruhan musim ini. – AGENSI














