fbpx
Nubhan sentiasa menyokong apa jua keputusan bekas isterinya, Dr. Afifah Hidayah termasuk jika wanita itu berhasrat untuk menceburi bidang seni.

‘Buat yang terbaik..’ – Nubhan sokong bekas isteri jadi artis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Penyanyi Nubhan memaklumkan akan sentiasa menyokong apa jua keputusan bekas isterinya, Dr. Afifah Hidayah termasuk jika wanita itu berhasrat untuk menceburi bidang seni.

Ujar Nubhan atau nama penuhnya Ahmad Nubhan Ahamad, 39, dia tidak pernah menghalang impian Afifah, malah akan terus memberikan sokongan penuh.

“Saya sentiasa menyokong sahaja apa yang dia nak buat.

“Dia jadi artis ke doktor ke apa sahaja,” katanya kepada Kosmo! Online semasa program Hello Putrajaya di IOI Putrajaya, baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, peserta Gegar Vaganza ke-12 (GV12) itu bersyukur kehidupannya selepas sah bercerai berjalan dengan lancar.

Dia juga memaklumkan akan memberi tumpuan kepada kerjaya dan anak-anak.

“Kehidupan selepas, alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Saya pun fokus dengan kerjaya, perniagaan, keluarga dan anak-anak.

“Jadi, saya hanya pandang ke hadapan dan buat yang terbaik untuk diri saya dan juga sesiapa saja yang berharap pada sayalah,” katanya lagi.

Mengulas mengenai perubahan selepas perceraian, Nubhan berkata, kehidupannya tidak banyak berbeza kerana rutinnya tetap berjalan seperti biasa.

“Perbezaan dia tak ada banyak sangat saya rasa sebab ke depannya terus dengan tugas-tugas biasa saya.

“Sekarang saya pun dah sibuk dengan Gegar Vaganza dan karier seni saya pun saya tak tahu nak jangka lagi. Cuma saya buat apa yang terbaiklah.

“Sekiranya karier nyanyian saya kembali, saya harus fokus juga pada karier saya dan dalam masa yang sama perniagaan saya akan diteruskan seperti biasa, insya-Allah,” jelasnya.

Pada 2 Disember lalu, Nubhan dan Dr. Afifah yang juga seorang doktor gigi sah bercerai talak kedua selepas 10 tahun berumah tangga.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille yang berusia tiga tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN