BANDAR RAYA MEXICO – Sekurang-kurangnya lima orang maut dan tiga lagi cedera selepas sebuah kereta meletup berhampiran sebuah balai polis di negeri bergolak Michoacan, utara Mexico.
Letupan berlaku menjelang pukul 12 tengah hari (waktu tempatan) kelmarin di hadapan ibu pejabat polis bandar tepi pantai Coahuayana, demikian menurut Pejabat Peguam Negara Mexico yang mengambil alih siasatan kes tersebut.
Pejabat pendakwa raya negeri meningkatkan angka korban awal daripada tiga kepada lima orang sambil menambah, tiga daripada mereka adalah pegawai polis tempatan.
Beberapa kumpulan pengedaran dadah beroperasi di Michoacan, termasuk Keluarga New Michoacan dan Kartel Generasi Baru Jalisco (CJNG). Kedua-duanya diisytiharkan organisasi pengganas asing oleh kerajaan Amerika Syarikat.
Pembunuhan Datuk Bandar Uruapan, Carlos Manzo di Michoacan mencetuskan demonstrasi yang dipimpin kumpulan belia selama dua hari November lalu, dengan penunjuk perasaan membakar bangunan awam dan bertempur dengan polis, mengakibatkan 100 orang cedera.
Manzo, 40, dikenali sebagai pejuang menentang jenayah terancang dan berkempen untuk memerangi kartel dadah terkenal Mexico.
Serangan bom kereta jarang berlaku di Mexico, walaupun letupan bom kereta pada Oktober lepas mencederakan tiga orang di negeri berdekatan, Guanajuato. – AFP














