LONDON – Sebanyak 16 kontena berisi beribu-ribu pisang dan buah eksotik lain hanyut ke sebuah pantai di Isle of Wight dalam insiden yang mencetuskan kekecohan di Selat Inggeris, lapor akhbar Metro UK.
Kontena-kontena itu sebenarnya terjatuh dari kapal Baltic Klipper berhampiran rumah api Nab Tower di luar Bembridge sekitar pukul 6 petang (waktu tempatan) kelmarin.
Agensi Pengawal Pantai Maritim (MCA) memberitahu, lapan kontena membawa pisang, dua mengandungi pisang tanduk, satu kontena dipenuhi avokado dan selebihnya kosong.
“Tiada anak kapal dilaporkan cedera, manakala amaran telah disiarkan kepada kepada kapal-kapal berdekatan di Solent,” kata MCA.
“(Kapal pengawal pantai) HM Coastguard akan bekerjasama dengan agensi berkaitan selepas 16 kontena terjatuh dari kapal kargo Baltic Klipper di Solent kelmarin. Kerjasama ini termasuk dengan pemilik kapal kargo yang bertanggungjawab ke atas kontena-kontena tersebut.
“Kapal yang gagal mengisytiharkan barangan dalam tempoh 28 hari dianggap melanggar undang-undang dan mungkin dikenakan tindakan selanjutnya,” kata seorang jurucakap MCA. – AGENSI














