fbpx
Antara motosikal diubah suai dan pelbagai lagi kesalahan disita JPJ WPKL.

Belanja RM11,000 ubah suai motosikal tetap ‘tak lulus saringan’ JPJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Hasrat seorang penunggang untuk tampil ‘eksklusif’ dengan motosikal yang diubah suai bermodalkan hampir RM11,000 gagal apabila kenderaannya tidak memenuhi spesifikasi keselamatan dalam operasi dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di sekitar ibu negara, awal pagi semalam.

Penunggang terbabit antara individu yang ditahan dalam operasi bersepadu membanteras motosikal ubah suai ekstrem di sekitar hotspot pusat bandar dalam operasi yang berlangsung bermula pukul 2 pagi hingga 5 pagi tadi.

Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam berkata operasi melibatkan JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) melalui Unit Falcon, dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur serta Skuad 42.

“JPJ WPKL menyita empat buah motosikal selain mengeluarkan 65 notis pelbagai kesalahan termasuk ekzos ubah suai ekstrem, nombor pendaftaran fancy, tiada lesen kompeten, tiada insurans, lesen kenderaan tamat tempoh dan nombor pendaftaran palsu.

“Turut mengejutkan, sebuah motosikal dikesan menggunakan cable tie sebagai pengikat brek dan satu lagi didapati LKM tamat tempoh sejak tahun 2011, sekali gus mengundang risiko serius,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ada individu yang ditahan datang dari Negeri Sembilan, Kuala Selangor, Klang dan sekitar Lembah Klang dipercayai berkumpul untuk melakukan aktiviti berisiko tinggi di kawasan pusat bandar.

Ujarnya, penguatkuasaan akan diperkasakan lagi pada tahun 2026 bagi membanteras modifikasi ekstrem yang mengancam keselamatan penunggang dan pengguna jalan raya lain.

Tambahnya, orang awam boleh menyalurkan maklumat melalui aplikasi MyJPJ atau e-mel [email protected]. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI