IPOH – Batik Air Malaysia (Batik Air) melebarkan lagi rangkaian laluan udara domestiknya dengan melancarkan penerbangan terus Ipoh-Singapura secara konsisten bermula hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, kepentingan strategik laluan itu mencerminkan komitmen syarikat tersebut untuk menghubungkan bandar-bandar Malaysia yang dinamik dengan pasaran serantau yang pesat berkembang.
“Ia menyokong pelancongan, pertukaran perniagaan dan pertumbuhan komuniti yang sejajar dengan matlamat kami untuk Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya di sini hari ini.
Katanya lagi, perkhidmatan sulung tersebut meningkatkan aksesibiliti Ipoh kepada pelancong dari Singapura yang merupakan pasaran pelancongan antarabangsa terbesar Malaysia dan meletakkan bandar Ipoh sebagai destinasi warisan utama.
Batik Air menggunakan pesawat Boeing 737 MAX bagi laluan tersebut.
Terdahulu, Pengerusi Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee merasmikan laluan terbaharu itu di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS).
Sze Yee berkata, kerjasama berterusan melibatkan Batik Air dan kerajaan negeri bakal menggalakkan pertambahan laluan antarabangsa lain ke Ipoh.
“Singapura terus menjadi sumber terbesar negara ini berhubung kehadiran pelancong asing ke negara ini dengan kehadiran lebih 10 juta setakat pertengahan tahun ini.
“Kami membuka pintu seluas-luasnya kepada warga Singapura dan pengembara antarabangsa yang transit di negara itu untuk meneroka warisan, kecantikan alam semula jadi dan pengalaman budaya yang unik di negeri ini,” katanya.
Ujarnya, sebahagian besar daripada lebih 500,000 pelancong antarabangsa yang menggunakan akses penerbangan udara telah mendarat di Ipoh merupakan warga Singapura. – KOSMO! ONLINE














