SEREMBAN – Ketua Pembangkang Mohamad Hanifah Abu Baker (PN–Labu) hari ini membangkitkan dakwaan serius bahawa tandatangan beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang tidak diterima oleh agensi kerajaan negeri, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai layanan berat sebelah terhadap wakil rakyat pembangkang.
Menurut Mohamad Hanifah, beberapa penduduk Labu yang hadir ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk urusan pengesahan dokumen dimaklumkan bahawa tandatangan beliau “tidak sah” dan mereka diarahkan mendapatkan tandatangan Penyelaras DUN, bukannya ADUN yang dipilih rakyat. Beliau berkata, hasil semakan sendiri di JKM mengesahkan perkara itu.
“Saya tanya sendiri pegawai, adakah tandatangan ADUN pembangkang tidak diterima? Jawapannya adalah betul dan mereka hanya ikut arahan. Bila saya tanya siapa beri arahan, mereka sebut Exco,” katanya dalam Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Yang Ke-15 di sini hari ini.
Katanya, tindakan tersebut bukan sekadar isu prosedur tetapi “politik yang menindas rakyat”, kerana penduduk terpaksa berulang-alik, membazir masa dan kos perjalanan, meskipun mereka datang dalam keadaan memohon bantuan.
Mohamad Hanifah turut mencabar kerajaan negeri, khususnya Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Sikamat) menjelaskan secara terbuka sama ada benar wujud dasar yang menghalang ADUN pembangkang menandatangani dokumen rasmi.- KOSMO! ONLINE














