NEW DELHI – Angka kematian akibat kebakaran besar di sebuah kelab malam popular di negeri Goa, India meningkat kepada 25 orang, lapor akhbar The Sun UK.
Kebakaran yang berlaku di kelab Birch by Romeo Lane, malam kelmarin itu turut mengorbankan beberapa pelancong.
Rakaman video kejadian menunjukkan sekumpulan lelaki sedang bermain alat muzik di atas pentas sebelum api kecil meletus dan merebak ke seluruh bangunan dalam masa beberapa minit.
Kebakaran dipercayai berpunca daripada letupan silinder gas di bahagian dapur kelab malam tersebut, lapor agensi berita Press Trust of India.
Ketua Menteri Goa, Pramod Sawant berkata, kebanyakan mangsa adalah kakitangan dapur dan kira-kira tiga hingga empat pelancong dipercayai maut.
“Enam orang cedera tetapi mereka berada dalam keadaan stabil,” kata Sawant.
Sekurang-kurangnya 100 pengunjung berada di lantai tarian semasa kejadian, menurut mangsa yang terselamat.
Kelab tersebut mempunyai laluan masuk dan keluar yang sempit, menyebabkan pasukan bomba terpaksa meletakkan tangki air kira-kira 400 meter dari lokasi kejadian, lapor media tempatan.
Akses yang terhad itu turut melambatkan usaha memadam api.
Perdana Menteri India, Narendra Modi menyifatkan insiden itu amat menyedihkan sambil berkata, beliau telah berbincang dengan Sawant mengenai situasi tersebut.
“Kerajaan negeri sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti kejadian selain memastikan sama ada norma keselamatan kebakaran atau peraturan bangunan dipatuhi,” kata Sawant. – AGENSI














