PUTRAJAYA – Dua video tular di media sosial yang memaparkan wajah dan suara menyerupai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) disahkan palsu selepas dikesan dihasilkan menggunakan teknologi deepfake.
AKPS dalam kenyataan berkata, video yang dimuat naik menerusi akaun TikTok @datok.abdul.kazim itu didapati meniru identiti Ketua Pengarah agensi berkenaan bagi mengelirukan orang ramai.
Menurutnya, kandungan video berkenaan seolah-olah memaparkan sokongan terhadap pemberian bantuan tertentu, sedangkan ia tidak pernah dihasilkan, diluluskan atau disahkan oleh AKPS.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak terperdaya dengan kandungan berasaskan kecerdasan buatan (AI) seperti deepfake yang boleh dimanipulasi untuk tujuan penipuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, AKPS menasihatkan orang ramai supaya merujuk kepada saluran rasmi kerajaan bagi mendapatkan maklumat tepat berkaitan sebarang bentuk bantuan.
“Bagi memperoleh maklumat sahih mengenai bantuan yang disediakan kerajaan, orang ramai disaran merujuk media rasmi serta laman sesawang kementerian, jabatan dan agensi berkaitan,” katanya.
Tambah AKPS, pihaknya memandang serius penyebaran video palsu terbabit dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terlibat.
“AKPS sedang meneliti perkara ini dengan serius dan akan mengambil tindakan tegas terhadap individu atau pihak yang menghasilkan serta menyebarkan kandungan palsu tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE
@datok.abdul.kazim “KEBAWAH DULI YANG MAHA MULAI Datuk Seri Mohd Shuhaily bin Mohd Zain” ALLAHU AKBAR! Syariat dipatuhi Raja dihormati Rakyat dilindungi #kelantan #selangor #perak #kedah #bismillahfyp ♬ suara asli – DATOK ABDUL KAZIM














