fbpx
CHONG WEI

SUKAN SEA: Perseorangan lelaki wajib sumbang mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LEGENDA badminton tanah air, Datuk Seri Lee Chong Wei berharap untuk melihat aksi terbaik daripada skuad badminton negara, terutamanya menerusi pemain-pemain perseorangan lelaki pada Sukan SEA Thailand 2025.

Menerusi sasaran empat pingat emas yang diletakkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) termasuk dalam acara berpasukan lelaki, pemain-pemain perseorangan perlu bersedia untuk menyumbang mata.

Justeru, Chong Wei yang juga Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM menggesa barisan pemain perseorangan lelaki supaya mempamerkan aksi terbaik bagi membantu kemenangan pasukan negara.

Kali ini, Malaysia mempertaruhkan Leong Jun Hao, Justin Hoh, Eogene Ewe serta pemain profesional, Aidil Sholeh Ali Sadikin untuk menggalas cabaran dalam acara perseorangan bagi berpasukan lelaki.

“Nasihat saya kepada mereka adalah jangan lupa mereka menyarung jersi Jalur Gemilang di Thailand nanti. Mereka wakil seluruh rakyat Malaysia untuk menggalas misi pada Sukan SEA, jadi perlu berikan segala-galanya.

“Saya sebagai pegawai akan turut berada di sana bagi memberikan sokongan dan bantuan. Pemain-pemain juga perlu fokus dan jangan mudah berputus asa walaupun ketinggalan kepada lawan,” katanya.

Selepas undian yang berlangsung di Bangkok semalam, Malaysia selaku pilihan kedua diundi bertemu Filipina di suku akhir dan dijangka berdepan Thailand di separuh akhir bagi merebut tempat ke final.

Sebagai rekod, aksi perseorangan lelaki negara sepanjang kempen musim ini kurang memuaskan apabila kerap tersingkir di pusingan awal sehingga menimbulkan resah dalam kalangan peminat sukan tanah air.

Tambah Chong Wei, beliau akan mengadakan pertemuan dengan beberapa pemain sebaik sahaja temasya Sukan SEA berakhir bagi mendapatkan penjelasan mengenai prestasi mereka sepanjang 2025.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN