fbpx
SKUAD boling wanita negara terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas kepada AS pada aksi final Kejohanan Boling Dunia kelmarin. - MTBC

SUKAN SEA: Bakar semangat buru emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RATU boling negara, Natasha Roslan menegaskan kejayaan meraih pingat perak dalam acara berpasukan wanita di Kejuaraan Boling Dunia hadir tepat pada masanya apabila ia menjadi tonik terbaik menjelang misi besar Malaysia di Sukan SEA Thailand, minggu depan.

Pemain berusia 29 tahun itu berkata, pencapaian di Hong Kong bukan sekadar penutup kempen dunia yang manis, malah menjadi pemangkin keyakinan peribadi dan pasukan untuk memburu emas di Bangkok nanti.

“Kejayaan ini juga menjadi suntikan semangat untuk saya menjelang SEA Games nanti. Saya akan terus bekerja keras, fokus semula dan membawa momentum positif ini ke kejohanan seterusnya,” katanya.

Skuad wanita dibarisi Natasha bersama Sin Li Jane, Gillian Lim, Nora Lyana Nastasia Norakmal, Adelia Nur Irwan Syazalee dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman terpaksa berpuas hati dengan perak selepas tumpas 1-2 kepada Amerika Syarikat pada aksi final.

Malaysia bermula garang apabila menang set pertama 191-179, namun wakil Amerika Syarikat bangkit dalam dua set berikutnya dengan kemenangan 200-159 dan 199-185 untuk merampas pingat emas.

Natasha berkata detik meraih perak itu sangat bermakna kerana pasukan melalui minggu yang penuh tekanan, namun tetap berjaya mengekalkan disiplin dan kekuatan mental sehingga ke penghujung saingan.

“Alhamdulillah, kami bersyukur dengan pencapaian pingat perak. Ia sangat bermakna kerana kami melalui kejohanan yang sangat mencabar, tapi semua orang kekal fokus dan saling menyokong hingga penghujung,” ujarnya.

Kejayaan itu turut melengkapkan pencapaian kukuh kontinjen negara selepas Adelia menggondol perak perseorangan wanita dan gandingan Rafiq Ismail–Muhammad Syazirol Shamsudin menyumbang gangsa dalam acara beregu lelaki.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN