KUALA LUMPUR – Perdana Menteri memaklumkan semua royalti hasil jualan buku karya beliau sendiri iaitu Rethinking Ourselves: Justice Reform and Ingorance in Postnormal Times akan disumbangkan kepada pelajar miskin.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bagi memastikan royalti itu dapat membantu golongan tersebut di seluruh negara.
“Saya ingin mengumumkan hari ini setiap sen royalti buku ini akan dibelanjakan untuk membantu pelajar miskin.
Setiap sen akan disalurkan terus kepada mereka,” katanya ketika berucap selepas melancarkan buku tersebut di Pavilion Bukit Jalil hari ini.
Buku setebal 240 halaman itu mengetengahkan kupasan mendalam terhadap pelbagai persoalan besar di zaman ini daripada pascakolonialisme dan Islamofobia sehinggalah kepada demokrasi serta pembentukan tata dunia.
Selain itu, buku berkenaan turut menghimpunkan gagasan pemikiran dan refleksi peribadi Anwar mengenai keadilan sosial, reformasi serta cabaran yang dihadapi masyarakat dalam era pascanormal.-KOSMO! ONLINE














