TANAH MERAH – Tempoh reman seorang penganggur yang dipercayai menikam isterinya hingga mati dalam kejadian di Kampung Paku, Gual Ipoh di sini pada Isnin lalu kerana cemburu selepas mengesyaki wanita itu mempunyai kekasih disambung reman empat hari.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, lanjutan tahanan reman yang bermula esok hingga Khamis itu dijalankan untuk melengkapkan kertas siasatan kes tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Masih terdapat beberapa perkara yang perlu disiasat untuk melengkapkan kertas siasatan berhubung kes itu.
“Siasatan kes berjalan lancar dan kita akan tuduh suspek di mahkamah selepas siasatan selesai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Terdahulu, suspek yang berusia 63 tahun itu ditahan reman enam hari bermula Selasa lalu hingga hari ini bagi membantu siasatan kes tersebut.
Akhbar Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang lelaki bertindak di luar dugaan apabila menikam isterinya sampai mati kerana cemburu selepas mengesyaki wanita itu mempunyai teman lelaki sejak bekerja sebagai tukang masak di sebuah kantin di Selangor.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi pada Isnin lalu di sebuah rumah di Kampung Paku, Gual Ipoh di sini, mangsa, Mastura Abdullah, 40, ditemui sudah dalam keadaan tidak bernyawa dan berlumuran darah di ruang dapur rumah tersebut selepas ditikam suaminya dengan sebilah pisau.
Adik mangsa, Mohd. Jony Abdullah, 30, berkata, suspek yang merupakan abang iparnya menyerah diri di Balai Polis Gual Ipoh di sini kira-kira dua jam kemudian selepas mengambil anaknya dari sekolah.
Sementara itu, sepupu arwah, Razuan Mat Yazid, 30-an berkata, suami mangsa mengesyaki arwah mempunyai teman lelaki sejak bekerja di Selangor dan kerap menghubunginya untuk mengadu mengenai masalah itu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat mengesahkan mangsa meninggal dunia selepas ditikam dengan dua tikaman pada bahagian belakang badannya.
“Siasatan mendapati, mangsa bertengkar dengan suaminya sebelum ditikam dengan menggunakan sebilah pisau.
“Kejadian itu berlaku selepas suspek yang merupakan suami mangsa mengesyaki wanita itu mempunyai kekasih,” katanya. – KOSMO! ONLINE














