JAKARTA – Sebuah majlis perkahwinan di Kapuas, wilayah Kalimantan Tengah mengundang perhatian ramai apabila pengantin lelaki memberikan mas kahwin berupa barang kemas dan wang tunai yang bermula dengan angka ‘9’, lapor portal berita Wolipop.
Majlis perkahwinan itu berlangsung di Kuala Kapuas pada 27 November lalu.
Pengantin lelaki dilaporkan memberikan mas kahwin berjumlah 999,000 rupiah (RM247) dan duit hantaran sebanyak 99.9 juta rupiah (RM24,676).
Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @ongkyhidayatt2 menunjukkan ahli keluarga pengantin lelaki membawa dulang berisi mas kahwin dan barang kemas.
Antara barangan lain yang diberikan kepada isterinya termasuk gelang emas seberat 99 gram bernilai 220 juta rupiah (RM54,342), cincin seberat 9 gram bernilai 18 juta rupiah (RM4,446) serta rantai emas.
Kesemua pemberian tersebut bermula dengan angka ‘9’ kerana nombor itu disukai pengantin lelaki. Dia juga memiliki sebuah farmasi dinamakan Apotek Tantowi 99. – AGENSI














