fbpx
SNOWY Park merupakan lokasi ideal untuk membawa anak-anak ketika musim cuti sekolah yang bakal tiba tidak lama lagi.

Main salji di Snowy Park

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERUBAHAN suhu jelas terasa sebaik sahaja melangkah masuk ke ruang sejuk beku bersalji di Snowy Park, The 19 USJ City Mall, Subang Jaya, Selangor.

Dengan suhu mencecah negatif 10 darjah Celsius, kedinginan menembusi jaket tebal dan sarung tangan hingga tubuh terasa seperti ‘terkejut’ dengan suasana ekstrem itu. 

Hembusan nafas bertukar menjadi wap putih halus, hujung jari mulai kebas dan setiap langkah di atas permukaan salji lembut menimbulkan sensasi seperti berada di negara empat musim.

Bagi penulis yang tidak pernah menyentuh salji asli, gabungan elemen itu menghadirkan suasana musim sejuk yang realistik dan cukup mengujakan. 

Menurut Pengarah Snowy Park USJ, Ding Wei Kuan, pihaknya menggunakan sistem penyejukan canggih bersama mesin salji import berprestasi tinggi bagi mengekalkan persekitaran subsifar yang stabil.

“Tujuh mesin salji beroperasi tanpa henti bagi menghasilkan salji halus dan membolehkan salji turun secara semula jadi.

“Kebanyakan pengunjung meluangkan masa antara 45 minit hingga sejam untuk menikmati aktiviti yang disediakan. 

“Setiap tiket menawarkan kemasukan semula tanpa had dalam tempoh dua jam supaya pengunjung boleh berehat dan memanaskan badan jika terlalu sejuk,” katanya kepada CitaRasa.

Snowy Park yang dibuka pada awal Oktober lalu menyediakan tiga zon utama iaitu Zon Tunggangan Pengembaraan, Zon Permainan Salji Bebas dan Zon Ukiran Salji.

SUHU di bawah takat beku menghadirkan suasana musim sejuk yang realistik dan mengujakan.

Zon Tunggangan Pengembaraan memperkenalkan kereta bumper dan snow twister dalam suasana musim sejuk buat kali pertama. Kedua-dua permainan itu beroperasi di atas permukaan berasaskan ais. 

Zon Permainan Salji Bebas pula menampilkan kawasan luas dengan salji turun berterusan, sesuai untuk membina orang salji, bermain bola salji dan merakam gambar. 

Zon Ukiran Salji mempamerkan ukiran yang dibentuk menggunakan salji sebenar bagi menghasilkan tekstur lembut menyerupai kerja seni pada musim sejuk.

Untuk makluman, tiket ke Snowy Park disertakan dengan jaket musim sejuk serta penutup kasut antigelongsor. 

Pengunjung digalakkan memakai seluar panjang, stoking dan kasut bertutup, manakala sarung tangan, topi serta skaf boleh dibawa sendiri atau dibeli di Snowy Park. 

Bagi kanak-kanak, pemakaian beberapa lapisan pakaian sangat disarankan supaya mereka kekal hangat.

PELBAGAI permainan musim sejuk ditawarkan di Snowy Park, The 19 USJ City Mall, Subang Jaya, Selangor.

Harga tiket pada hari biasa ialah RM34.90 bagi dewasa dan RM24.90 bagi kanak-kanak. 

Sementara itu, pada hujung minggu dan cuti umum harganya adalah RM39.90 untuk dewasa dan RM29.90 untuk kanak-kanak. 

Warga emas dan kanak-kanak di bawah 90 sentimeter serta individu orang kurang upaya (OKU) boleh menikmati kemasukan percuma.

Kemudahan lain yang disediakan termasuk kaunter menjual snek dan minuman untuk dinikmati ketika berehat. 

Kongsi Wei Kuan lagi, populasi yang tinggi, kehadiran pelajar serta akses mudah melalui lebuh raya dan pengangkutan awam menjadikan USJ lokasi ideal. 

“Tarikan ini sesuai untuk semua golongan termasuk keluarga, remaja, pelancong, rombongan sekolah dan juga aktiviti bina semangat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN