BRUNEI – DPMM FC seakan melepaskan geram apabila membelasah Imigresen FC 4-2 pada aksi Liga Super di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah, sebentar tadi.
Paling mencuri perhatian pastinya menjurus kepada kebangkitan yang dijelmakan DPMM FC selepas pelawat terlebih dulu berada di depan hasil jaringan pantas Wilmar Jordan seawal minit kelima.
Keceriaan Imigresen FC hanya bertahan 10 minit apabila Azwan Ali kembali menyamakan kedudukan selepas memanfaatkan situasi bola muntah.
Disebalik aksi sengit dipamerkan kedua-dua pasukan, DPMM FC makin selesa dengan menyaksikan Hakeme Yazid meledak dua gol dalam tempoh lima minit, masing-masing pada minit ke-21 dan 26.
Bersambung babak kedua, Imigresen FC menyerlahkan usaha untuk merapatkan kedudukan hingga memperoleh jaringan kedua, sekali lagi daripada Jordan yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-71.
Selang 15 minit selepas itu, DPMM FC segera mematikan sisa perjuangan Imigresen FC apabila menambah jaringan keempat menerusi Miguel Oliveira. – KOSMO! ONLINE














