KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki yang tiba-tiba menyeberang jalan sambil menolak basikalnya nyaris maut selepas digilis sebuah lori di persimpangan lampu isyarat di Manir di sini semalam.
Kemalangan pada 5.30 petang itu menyebabkan mangsa berusia 42 tahun cedera parah pada bahagian paha kanan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, mangsa yang merupakan seorang penganggur dikatakan dalam perjalanan ke sebuah kedai makan di pekan Manir di sini dari rumahnya berhampiran.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, dia yang mengayuh basikal di tepi jalan dikatakan berhenti sebelum menuntun basikalnya untuk melintas jalan di hadapan sebuah lori.
“Kenderaan berat tersebut dikatakan sedang berhenti disebabkan lampu isyarat merah,” katanya di sini hari ini.
Azli berkata, pemandu lori berusia 48 tahun yang tidak menyedari kehadiran mangsa dikatakan terus bergerak selepas lampu isyarat bertukar hijau sebelum merempuh lelaki itu.
Beliau berkata, rempuhan tersebut menyebabkan mangsa terjatuh sebelum digilis.
“Mangsa yang cedera dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk menerima rawatan.
“Kes sedang disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959,” katanya. – KOSMO! ONLINE














