REMBAU – Seorang bapa benar-benar terasa akan kehilangan anak bongsunya apabila rumah dan hidupnya terasa janggal dan kosong sejak kanak-kanak itu menemui ajal akibat lemas di dalam kolam renang di Dewan Mahkota Hills Club House, Lenggeng kelmarin.
Noor Muhamad Asun, 46, berkata, arwah Nur Dhiya Azzalea, 5, merupakan anak bongsu daripada empat beradik dan sangat rapat dengannya hingga setiap rutin harian kini terasa kosong tanpa kelibat Allahyarham.
Katanya, dia yang masih terkesan dengan pemergian mengejut itu dan mengakui sukar menerima keadaan rumah yang kini sunyi tanpa suara riuh anak bongsunya itu.
“Malam tadi terasa betul-betul kehilangan. Biasanya apabila nak tidur dia mesti nak saya peluk dan belai dia.
“Dia seorang anak yang sangat manja, ceria. Kalau nak tidur dia suka saya belai, peluk. Itu memang rutin kami, tapi semalam (kelmarin) memang rasa lain sangat sebab saya rindu, rasa kehilangan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Rembau di sini semalam.
Kelmarin Kosmo! Online melaporkan Nur Dhita Azzalea ditemukan meninggal dunia pada pukul 12.15 tengah hari selepas ditemui tidak sedarkan diri di sebuah kolam renang semasa Majlis Penyampaian Hadiah Tadika Kemas Sungai Machang Hilir, Lenggeng.
Menurut Noor Muhamad, dia tiada sewaktu kejadian kerana bekerja dan arwah bersama isteri, serta anak keduanya yang berusia 15 tahun.
“Biasanya setiap kali kalau saya berada di dapur dia akan mengusik saya. Minta airlah, minta jajanlah. Bagaimanapun, kami keluarga reda,” katanya yang bekerja kilang di Beranang.
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 8, Mantin.
Sementara itu, Pengerusi Tabika Kemas Sungai Machang Hilir, Habu Alwazie Bukang, 46, berkata, kejadian berlaku sejam selepas majlis tersebut tamat pada pukul 11 pagi.
“Kebanyakan ibu bapa telah pulang dan hanya ahli jawatankuasa dan beberapa keluarga masih ada di dewan. Ada 24 murid hadir, namun aktiviti mandi bukanlah program rasmi,” katanya.
Habu Alwazie berkata, ketika kejadian kanak-kanak yang mandi berada di bawah pengawasan ahli keluarga masing-masing.
“Ada kakak, ada abang yang tengok. Kejadiannya berlaku agak drastik. Masing-masing tak perasan. Saya sendiri pun tidak perasan adik itu bergerak ke bahagian kolam besar,” katanya.














