PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan Penjara Bentong didedikasikan untuk banduan yang berpotensi dan ingin menyambung pendidikan ke peringkat universiti.
Menurutnya, penjara itu menempatkan banduan yang dihukum atas kesalahan jenayah kolar putih (kesalahan kecil dan ringan) dan berpotensi tinggi menyambung pengajian.
“Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) boleh sahkan penjara ini,” katanya pada pentas forum Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam sempena program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkongsi perkara itu bagi menjawab soalan dikemukakan audien mengenai masa depan pesalah terutama penuntut universiti yang ingin melanjutkan pelajaran jika berada di penjara.
Ahmad Zahid berkata, ketika beliau bergelar Menteri Dalam Negeri sebelum ini, ada tiga banduan yang mengikuti pengajian peringkat doktor falsafah, 12 calon ijazah sarjana, 137 calon ijazah sarjana muda, 300 calon diploma dan ratusan calon bagi program lain.
“Dalam konteks ini, saya tidak pernah menjadikan kesalahan lampau sebagai ‘benchmark’ untuk menolak permohonan pelajar. Jika ada ruang yang jelas untuk memberi peluang kedua, saya akan cuba bantu supaya mereka dapat memasuki universiti.
“Jika ada sebarang keraguan, beritahu saya. Saya akan minta pihak yang berkaitan meneliti perkara itu dengan lebih mendalam dan memberi laluan kepada mereka yang layak untuk meneruskan pengajian,” katanya. – KOSMO! ONLINE














