PETALING JAYA – Di sebalik gelaran Malaysia sebagai ‘syurga makanan’ dengan pelbagai pilihan juadah, tabiat menikmati menu ‘viral’ dengan saiz hidangan besar dan kandungan gula tinggi sebenarnya memaksa sistem pencernaan bekerja lebih berat setiap hari.
Menerusi hantaran dimuat naik di Facebook, Public Health Malaysia (PHM) memberi peringatan mengenai lima menu popular yang dilabel sebagai ‘reward’, namun sebenarnya mengandungi kalori dan gula yang tinggi.
PHM mengaitkan trend tersebut dengan angka obesiti yang semakin meningkat apabila satu hidangan sahaja sudah mampu menyamai keperluan kalori harian.
Infografik berkenaan menyenaraikan nasi lemak tomahawk dengan kalori sangat tinggi yang boleh mencecah antara 1,500 hingga 2,000 kilokalori (kcal) dan pistachio kunafa yang mempunyai 700 hingga 1,000 kcal bagi setiap keping atau mangkuk, dengan paras gula sangat tinggi.
“Cake in bowl yang juga berkalori tinggi iaitu sekitar 500 hingga 900 kcal bergantung kepada topping, dengan kandungan gula yang turut diklasifikasikan tinggi.
“Ayam gepuk yang diletakkan dalam julat kalori sederhana hingga tinggi iaitu sekitar 450 hingga 700 kcal bergantung kepada saiz ayam dan sambal, namun dengan gula yang dianggap rendah,” katanya.
Selain itu, tambah PHM, air matcha berkalori sederhana iaitu dalam lingkungan 180 hingga 350 kcal, tetapi mempunyai gula yang tinggi kerana penggunaan gula tambahan serta susu pekat atau susu penuh krim.
Tegas PHM, walaupun hidangan tersebut kelihatan menarik dan estetik, badan manusia tidak mengenali visual cantik sebaliknya hanya memproses lebihan lemak yang disimpan, gula yang melonjak dan tekanan darah yang perlahan-lahan meningkat.
“Jadi jujur sekejap dengan diri sendiri. Dalam lima menu ‘viral’ itu, yang mana paling kerap singgah dalam hidup anda sekarang, dan apa satu perubahan kecil yang anda sanggup cuba bermula tahun 2026?,” soal PHM. – KOSMO! ONLINE














