KOTA BHARU – Baru empat bulan mencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi Skim Lindung Diri, seorang ibu tunggal kepada lapan anak termasuk dua orang kurang upaya (OKU) pendengaran terpilih menerima peralatan membuat kuih-muih bernilai RM4,850.
Roslina Mat Yusoff, 45, merupakan antara 20 usahawan mikro di Kelantan yang menerima sumbangan melalui Program Cakna Prihatin Perkeso – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Menurut Roslina, dia baru mencarum Perkeso selama empat dengan bayaran hanya RM13.10 sebulan melalui Skim Lindung Kendiri.
Katanya, dia sebelum ini membuat pelbagai jenis kuih tanpa peralatan mesin untuk menyara lapan anak termasuk lima yang masih belajar selepas berpisah dengan suaminya sejak setahun lalu.
“Sumbangan peralatan dan mesin membuat kuih daripada Perkeso dan SSM ini boleh meningkatkan kapasiti pengeluaran dan saya berani untuk menerima lebih banyak tempahan daripada pelanggan.
“Dengan peralatan yang diberikan itu, saya juga berhasrat benar untuk membuka kedai sendiri selepas ini. Saya dan anak-anak ketika ini hanya mampu menumpang di rumah bekas ibu mentua,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima peralatan membuat kuih daripada Pengarah SSM Kelantan, Mohd. Zawawi Ahmad dan Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob pada Program Cakna Prihatin di Kampung Badang di sini hari ini.
Sementara itu, Nora berkata, pihaknya menerima penyaluran wakalah zakat korporat dan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM148,783.90 yang akan diagihkan kepada 64 penerima seluruh negara.
Katanya, daripada jumlah itu, dana sebanyak RM51,000 diagihkan kepada 20 penerima Program Cakna Prihatin di Kelantan termasuk Roslina dan seorang lagi suri rumah berusia 50 tahun. – KOSMO! ONLINE














