AMPANG JAYA – Dua lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai menghalang penjawat awam menjalankan tugas dengan melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Pandan Indah di sini, 4 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.05 pagi ketika sepasukan anggota unit kereta peronda menjalankan rondaan di Jalan Bukit Pandan 2 sebelum terserempak sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna biru dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, polis telah mengarahkan kenderaan itu berhenti menggunakan pembesar suara bagi tujuan pemeriksaan namun pemandu bertindak memecut laju dan enggan berhenti.
“Susulan itu, polis mengejar kenderaan berkenaan sebelum berjaya menahannya.
“Hasil pemeriksaan mendapati kereta itu dinaiki dua lelaki tempatan berusia 32 dan 35 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Katanya, semakan lanjut mendapati suspek pertama mempunyai lapan rekod jenayah lampau pelbagai kesalahan manakala suspek kedua mempunyai sembilan rekod kesalahan dadah termasuk dua kes masih dikehendaki polis.
“Siasatan awal mendapati suspek bertindak melarikan diri kerana salah seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau dan masih dikehendaki polis,” katanya.
Menurutnya, permohonan reman terhadap kedua-dua suspek telah dibenarkan selama dua hari bermula 4 Disember hingga 5 Disember bagi membantu siasatan.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE














