KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila kereta BMW dipandunya tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas dan naik ke atas pembahagi jalan di kawasan Mid Valley Mall, East Entrance, di sini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.10 petang semalam.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati pemilik kenderaan tampil membuat laporan polis selepas mendakwa kenderaan dipandunya hilang kawalan akibat pedal minyak dipercayai tersekat.
“Kenderaan berkenaan terlanggar konkrit serta kolam air berhampiran sebelum terbabas dan naik ke atas pembahagi jalan (divider),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, kes berkenaan disiasat oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur mengikut Kaedah 10, Peraturan-Peraturan Lalu Lintas Jalan, L.N. 166/59.
Terdahulu, tular rakaman video memaparkan seorang lelaki dibantu polis bantuan serta orang awam keluar dari sebuah kenderaan, selain kelihatan sebuah pasu besar pecah terbalik yang dipercayai akibat pelanggaran melibatkan kenderaan terbabit. – KOSMO! ONLINE














