PATHUM THANI – Keyakinan Thailand untuk mendominasi acara badminton di laman sendiri sedikit terganggu apabila jaguh dunia, Kunlavut Vitidsarn mengesahkan tidak akan menyertai acara perseorangan lelaki pada Sukan SEA Thailand 2025.
Jaguh ranking No. 3 dunia itu mendedahkan, beliau belum mencapai tahap kecergasan 100 peratus selepas menjalani pembedahan gigi baru-baru ini.
Susulan itu, Kunlavut hanya akan diturunkan dalam acara berpasukan lelaki, manakala tempatnya dalam acara individu perseorangan Thailand akan digalas oleh Kantaphon Wangcharoen (No. 57 dunia) dan Panitchaphon Teeraratskul (No. 39 dunia).
“Mengenai sasaran pingat emas di laman sendiri, sudah tentu saya mahukannya. Namun, keadaan fizikal semasa tidak mengizinkan.
“Tapi secara realitinya, saya sudah pernah memenanginya sebelum ini,” kata Kunlavut yang memenangi pingat emas dalam acara perseorangan lelaki di Sukan SEA Vietnam (2021).
Jelas Kunlavut, tempoh pemulihan selepas pembedahan membataskan sesi latihannya, menyebabkan dia tidak bersedia sepenuhnya untuk mengharungi jadual padat dalam acara individu.
“Sukan SEA kali ini sangat kompetitif kerana setiap negara menghantar atlet bertaraf dunia. Ia temasya paling sengit setakat ini,” tambahnya.
Sementara itu, jurulatihnya, Phatthapon Ngensrisuk menjelaskan bahawa keputusan itu diambil demi kebaikan jangka panjang buat pemenang pingat perak Olimpik Paris tersebut terutama pada musim 2026.
“Kunlavut menanggung kesakitan sejak kejohanan di Jepun dan baru sahaja menjalani pembedahan membuang gigi bongsu.
“Kecergasannya belum 100 peratus, tetapi dia masih boleh beraksi dengan baik dalam acara berpasukan kerana formatnya satu perlawanan demi satu perlawanan. Kami mahu atlet yang paling bersedia untuk turun beraksi,” jelas Phatthapon. – AGENSI














