KEMAMAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya melumpuhkan aktiviti pengedaran dadah dan air ketum yang berselindung di sebalik jeti nelayan di daerah ini baru-baru ini.
Serbuan pada pukul 4.30 pagi, 23 September lalu itu berjaya merampas 105 liter air ketum dan dadah jenis heroin, ecstasy, pil kuda dan syabu bernilai keseluruhan RM139,130.
Pengarah Kastam Terengganu, Hasbollah Din berkata, jeti nelayan haram tersebut telah diserbu setelah risikan mendapati ia menjadi lokasi penyimpanan bekalan dadah dan air ketum terbabit.
“Pemeriksaan menjumpai bekalan dadah terbabit disorokkan di dalam tong-tong ikan yang terdapat di dalam sebuah bilik di jeti nelayan berkenaan.
“Antara dadah dirampas 190 gram heroin 1,200 biji pil kuda, 2,099 biji pil ecstasy dan 128 gram syabu,” katanya di sini hari ini.
Hasbollah berkata, rampasan tersebut berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah di daerah ini.
Beliau berkata, siasatan kes diteruskan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE














