MELAKA – Seorang pemuda maut selepas motosikal yang ditunggang dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Tun Razak–Ayer Keroh, berhadapan Pangsapuri Polis Temenggung di Taman Sentosa di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa yang berusia 22 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi.
Insiden itu turut membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi mengakibatkan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun mengalami kecederaan sebelum dihantar ke hospital menggunakan van Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS).
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS 999 pada pukul 2.30 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh dikerahkan ke lokasi.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah motosikal dihempap pokok tumbang yang menutup keseluruhan jalan dua lorong menghala ke Ayer Keroh.
“Anggota bomba segera mengeluarkan mangsa yang terperangkap dan melakukan kerja-kerja pembersihan pokok tumbang sehingga selesai. Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut,” katanya.-KOSMO! ONLINE














