RAUB – Beberapa penduduk Kampung Ulu Sungai bagaikan “berpindah-randah tanpa henti” apabila terpaksa kembali ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kampung itu sekali lagi dilanda banjir awal pagi tadi.
Hujan lebat yang turun kira-kira pukul 4.30 pagi menyebabkan paras air Sungai Ulu Sungai kembali melimpah, menjadikan banjir ketiga berlaku sejak 24 November lalu.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Raub, Kapten (PA) Samasuddin Kambade berkata, sebanyak 23 penduduk daripada enam keluarga dipindahkan ke PPS Balai Raya Kampung Ulu Sungai yang kembali dibuka pada pukul 7.45 pagi.
“Setakat ini 10 rumah dikenal pasti terjejas. Proses mengumpulkan maklumat lanjut mangsa masih dijalankan bagi memastikan jumlah sebenar mereka yang terlibat,” katanya di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE














