PETALING JAYA – Kegiatan jurugambar jalanan didakwa semakin berleluasa apabila menawarkan khidmat mereka secara ‘haram’ di kawasan tumpuan pelancong.
Menerusi perkongsian di laman X, seorang pengguna berpandangan bahawa ia tidak sepatutnya berlaku terutama di kawasan sedemikian.
“Mereka semakin berani… berdiri betul-betul di pintu masuk KLCC, mendekati orang ramai dan menawarkan ‘khidmat fotografi’.
“Pihak berkuasa memang perlu campur tangan dan mengambil tindakan,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna meminta agar pihak berkuasa mengenakan tindakan tegas kepada individu terlibat.
“Penuh KLCC dengan (jurugambar jalanan). Nak cari makan pun ada caranya. Ini dah macam negara tiada undang-undang. Suka hati nak buat apa,” ujarnya.
Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenakan tindakan saman kepada sekumpulan individu yang terlibat dalam kegiatan terbabit.
Menerusi Operasi Penguatkuasaan Ops Lens itu, sebanyak 41 notis kompaun dikeluarkan termasuk rampasan peralatan yang digunakan. – KOSMO! ONLINE














