JAKARTA – Penduduk di Tapanuli Utara, wilayah Sumatera Utara kecewa apabila bantuan beras hancur selepas digugurkan daripada helikopter, lapor portal berita Lambe Turah.
Bantuan makanan itu dihantar kepada mangsa banjir kilat dan tanah runtuh di Tapanuli Utara dan Sibolga, baru-baru ini.
Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @lambe_turah menunjukkan warga setempat memegang bungkusan plastik beras yang kosong.
Mereka dilihat berpusu-pusu mengutip beras yang berselerakan di atas tanah. Ada antara mereka meletakkan beras itu di dalam baju, plastik dan kain yang dibawa dari rumah.
Penduduk tempatan memberitahu bahawa bantuan makanan itu pecah selepas digugurkan dari helikopter, menyebabkan isinya berselerakan.
Rakaman itu menjadi tular dan mencatatkan pelbagai reaksi.
“Niat memberi itu ikhlas atau tidak?” kata seorang netizen.
“Itu manusia bukan beri makan ayam!” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














