KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 35 tahun ditemui meninggal dunia di dalam sebuah kereta yang diparkir di kawasan tempat letak kenderaan sebuah kediaman di Danau Kota, Setapak di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pukul 7.52 pagi tadi.
Beliau berkata, mangsa ditemui oleh ibunya sendiri ketika melalui kawasan berkenaan dalam perjalanan ke tempat kerja.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kesan kecederaan pada tubuh badan mangsa dan tiada unsur perlakuan jenayah dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
Katanya, keputusan bedah siasat masih menunggu laporan makmal. – KOSMO! ONLINE














