REMBAU – Hasrat dua beradik untuk menghadiri kenduri kahwin saudara mereka di Bukit Rambai, Melaka tidak kesampaian apabila maut dalam nahas di Kilometer (KM) 266.8, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, motosikal ditunggang Muhammad Aidil Danial Mohamad Fitri, 22, dan adiknya, Muhammad Nabil Akmal, 18, terbabas di lokasi tersebut menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak.
Bapa mangsa, Mohamad Fitri Ghazali, 48, yang merupakan pembantu juruteknik berkata, dua anaknya itu bertolak dari rumah di Klang, Selangor ke Melaka pagi tadi.
“Kedua-dua anak saya bertolak hari ini, manakala saya dan isteri tiba lebih awal iaitu semalam di Melaka. Aidil Danial dan Nabil Akmal memang rapat dengan saudara-mara dan teruja untuk menghadiri majlis kenduri tersebut.
“Kalau berkumpul dengan saudara-mara memang meriah. Tapi tak sangka kejadian ini (nahas) terjadi, isteri saya paling sedih,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.
Jelasnya, arwah Aidil Danial merupakan anak sulung, manakala Nabil Akmal pula anak kedua daripada empat beradik dan kedua-dua mereka dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Johan Setia, Klang.-KOSMO! ONLINE














