KULIM – Kira-kira tujuh kedai dan gerai menjual makanan di Padang Serai, di sini rosak akibat dibadai ribut, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, angin kencang menerbangkan bumbung dan kanopi gerai makanan dalam sekelip mata.
Menurut Siti Rohani Ahmad, 29, dia melihat sendiri khemah kedai makan diterbangkan angin sebelum terhempas ke tanah.
“Angin kuat itu datang sekali dengan hujan dan terus mengangkat bumbung gerai jual makanan, antara yang teruk kedai char kuetiau.
“Terdapat kira-kira tujuh gerai jualan makanan turut terjejas. Kanopi rosak dan makanan seperti pisang goreng, nuget dan ‘lokcing’ bertaburan di atas jalan,” katanya.
Menurutnya, dia bernasib baik kerana kedai laksa dan cendolnya tidak terjejas.
“Tiada yang cedera tetapi kasihan melihat peniaga yang sayu melihat makanan bertaburan di jalan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














