PETALING JAYA – Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin, dijangka didakwa Isnin ini berhubung dakwaan rasuah yang berkaitan dengan usaha sama penternakan lembu milik kerajaan negeri Kedah.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan perkembangan ini atas pertuduhan rasuah.
“Beliau (Azman) akan didakwa bersama seorang lagi individu,” katanya ringkas ketika dihubungi.
Media semalam melaporkan seorang Ahli Parlimen ditahan SPRM Kedah berkaitan kes melibatkan usahasama ternakan lembu (fidlot) milik kerajaan negeri itu.
Siasatan dijalankan sejak Februari lalu melibatkan dakwaan penerimaan kira-kira RM400,000 sebagai balasan membantu mendapatkan hak penggunaan tanah untuk projek fidlot.
Malah, Azman sendiri semalam mengesahkan penahanannya dan mengakui akan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam Isnin ini.
Beliau berkata, pertuduhan akan dibuat di bawah Seksyen 53(3) Akta SPRM 2009 berkait satu projek usahasama ternakan lembu kerajaan Kedah didakwanya mempunyai unsur ‘pengaruh politik’. – KOSMO! ONLINE














