PUTRAJAYA – “Ahli politik membuat keputusan dahulu sebelum berfikir, tetapi hakim perlu berfikir dahulu sebelum membuat keputusan.”
Itu merupakan perbezaan ketara yang dirasai oleh Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh ketika ditanya media mengenai latar belakang kehidupannya.
Untuk rekod, Wan Ahmad Farid pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dari 2003 hingga 2008, sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri dari 2008 hingga 2009.
Wan Ahmad Farid memulakan kerjaya dalam perundangan sebagai peguam bela dan peguam cara pada 1987 sebelum engangkat sumpah sebagai Pesruhjaya Kehakiman pada Disember 2015.
Setakat hari ini, Wan Ahmad Farid telah berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara selama 130 hari, menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara pada 2 Julai lalu
Selain itu, Wan Ahmad Farid turut menyifatkan dirinya kini seorang lelaki yang kesunyian sejak dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, hampir tiada sesiapa yang menghubunginya lagi.
“Tidak ada sesiapa menghubungi saya lagi. Telefon berhenti berdering. Saya pergi ke pejabat dan kemudian balik, kalau kelua pun ke kenduri kahwin. Itu sahaja sekarang. Ia satu kehidupan yang sangat terasing… memang rasa sunyi.
“Berbeza ketika menjadi ahli politik, orang akan mencari kita dan kita juga perlu mencari orang. Jadi saya perlukan masa untuk menyesuaikan diri daripada kehidupan sebagai ahli politik kepada kehidupan sebagai seorang hakim,” katanya.
Terdahulu, Wan Ahmad Farid menyatakan tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa beliau akan menjadi Ketua Hakim Negara pada satu hari nanti.
“Tidak pernah terlintas dalam fikiran bahawa satu hari nanti, saya akan dilantik sebagai Ketua Hakim Negara.”
“Saya terkejut. Malah, isteri saya juga terkejut. Tidak pernah sekalipun dia terfikir, suaminya akan dilantik menjadi Ketua Hakim Negara.
“Selepas saya mendapat berita itu secara rasmi, saya menganggapnya sebagai satu penghormatan besar,” katanya dalam Sesi Temu Bual Sempena 100 Hari Pelantikan Sebagai Ketua Hakim Negara di Istana Kehakiman, di sini hari ini.
Wan Ahmad Farid berkata, jawatannya sebagai Ketua Hakim Negara menuntut beliau untuk turut melakukan tugas-tugas terkait pentadbiran dan tidak terhad kepada tugas kehakiman semata-mata.
“Kerja kehakiman dan kerja pentadbiran merupakan dua perkara berbeza. Namun, buat pertama kalinya sebagai seorang hakim, saya terpaksa melaksanakan kerja pentadbiran.
“Setiap pagi sebelum bersidang, saya perlu selesaikan urusan-urusan pentadbiran. Saya juga bertanggungjawab terhadap Pesuruhjaya Sumpah, jadi sebarang tindakan tatatertib atau cadangan memulakan prosiding tatatertib perlu diteliti terlebih dahulu.
“Bagaimanapun, pengalaman saya sebagai timbalan menteri banyak membantu dalam kerja-kerja sebagai Ketua Hakim Negara, terutamanya dari segi pentadbiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE














