fbpx
Jenazah Bung Moktar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas pukul 2.25 petang tadi. Foto oleh IVAN AMIRUL / KOSMO!

Syukur Allah pilih malam Jumaat – Anak Bung Moktar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Syukur ke hadrat Allah SWT kerana memilih malam Jumaat penuh keberkatan sebagai waktu pemergian panglima kami, ayahanda Moktar Radin yang kami kasihi.”

Demikian luahan dimuat naik Naim Kurniawan, iaitu anak Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin menerusi Facebook sejurus selesai pengebumian bapanya hari ini.

“Itulah kematian yang paling diidamkan oleh setiap mukmin. Bahkan sejurus selesai majlis pengebumian tadi, Allah turunkan hujan rahmat sebagai tanda kasih sayangNya kepada insan yang pergi menghadapNya,” katanya.

Dalam pada itu, Naim bagi pihak keluarga turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada ribuan orang yang terlibat dalam menjayakan urusan pengebumian bapanya.

“Para imam, pemandu van jenazah, penggali kubur, jiran tetangga, saudara-mara, sahabat-handai serta seluruh yang hadir daripada jauh membantu tanpa mengira penat lelah.

“Kami juga amat menghargai kehadiran pemimpin-pemimpin negara yang sudi bersama kami pada hari penuh emosi ini. Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Sabah, Tun Musa Aman, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Serta seluruh kepimpinan daripada pelbagai peringkat dan latar belakang yang hadir, tanpa mengira agama, fahaman mahupun parti. Terima kasih kerana memberi penghormatan kepada ayahanda kami,” katanya.

Naim turut memohon jasa baik semua untuk terus menghadiahkan al-Fatihah dan memanjangkan doa buat Allahyarham Bung Moktar.

“Moga dengan asbab doa kalian yang ikhlas, Allah SWT menempatkan beliau dalam kalangan hamba-hambaNya yang beriman, beramal soleh dan sejahtera di alam sana.

“Terima kasih atas segala doa, sokongan dan kasih sayang yang disampaikan kepada keluarga kami. Tahlil akan diadakan di kediaman kami di Kota Kinabalu pada pukul 7.30 malam ini,” katanya.

Kosmo! melaporkan, jenazah Ahli Parlimen Kinabatangan itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas pukul 2.25 petang tadi.

‎Bung Moktar, 66, meninggal dunia pada pukul 1.46 pagi hari ini di sebuah hospital swasta selepas mengalami kegagalan buah pinggang dan jangkitan pada paru-paru. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN