PETALING JAYA – Impian skuad Malayan Tigress untuk memulakan saingan Kumpulan B Sukan SEA 2025 dengan langkah kanan tidak kesampaian selepas dibelasah juara bertahan, Vietnam 0-7 di Stadium Chonburi, Thailand, sebentar tadi.
Vietnam yang dianggap pilihan utama pada edisi kali ini tidak menunjukkan sebarang belas kasihan buat skuad wanita negara apabila meraih gol seawal minit keempat hasil penyudah Pham Hai Yen.
Momentum cemerlang skuad Vietnam sukar dikekang apabila menambah tiga lagi gol pada babak pertama menerusi Nguyen Thi Bich Thuy menggandakan jaringan pada minit ke-23, Hai Yen (m-26) dan Tran Thi Hai Linh (m-32.
Bersambung padak kedua, kealpaan benteng pertahanan skuad nkendalian Joel Cornelli terus dihukum apabila pemain tengah, Thai Thi Thao meledak gol kelima pada minit ke-49.
Thi Thao mempamerkan penyudah berbisa apabila melengkapkan jaringan hatrik pada minit ke-59 dan 78 sekali gus melengkapkan kemenangan bergaya juara lapan kali itu.
Dalam satu lagi aksi Kumpulan B, Myanmar berjaya melakar kejutan apabila menang 2-1 ke atas Filipina pada aksi di venue sama, petang tadi.
Skuad Malayan Tigress seterusnya akan bertemu Myanmar pada Isnin ini sebelum menamatkan aksi peringkat kumpulan menentang Filipina, Khamis dengan dua pasukan terbaik akan layak ke separuh akhir. – KOSMO! ONLINE














