fbpx
MILLER

Punca Yamaha beralih ke enjin V4

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

VALENCIA – Masalah jentera terlalu berat didedahkan sebagai punca utama gergasi Jepun, Yamaha terpaksa melakukan perubahan drastik dengan beralih kepada penggunaan enjin V4 bagi kekal relevan dalam saingan MotoGP.

Pelumba Pramac Yamaha, Jack Miller mengakui, struktur asas jentera sedia ada menjadi penghalang terbesar pasukan itu untuk bersaing, sekali gus memaksa mereka meninggalkan tradisi enjin Inline-4 yang digunakan sejak 2002.

Jelas pelumba kelahiran Australia itu, walaupun jentera Inline mempunyai kelebihan di selekoh, namun ia gagal menandingi jentera pengeluar Eropah dari segi cengkaman tayar belakang yang merupakan elemen paling mustahak terutama penggunaan tayar Michelin.

“Kita ada jentera yang kukuh di bahagian depan dan membelok dengan baik. Namun, struktur enjin Inline di bahagian hadapan terlalu berat.

“Tidak kira apa yang dilakukan pada tangki minyak, berat jentera tetap tertumpu di hadapan. Enjin V4 membolehkan berat dianjak ke belakang, memberikan cengkaman yang diperlukan,” kata Miller yang berpengalaman memacu jentera V4 bersama Honda, Ducati dan KTM.

Yamaha yang pernah mendominasi litar menerusi legenda MotoGP, Valentino Rossi, Jorge Lorenzo dan Fabio Quartararo, gagal memenangi sebarang perlumbaan sejak 2022.

Situasi ‘kemarau’ kemenangan itu memaksa Yamaha memperlahankan pembangunan jentera Inline pada musim 2025 demi mencurahkan segala sumber tenaga ke arah projek prototaip V4.

Kegagalan Yamaha menduduki tangga tercorot kategori pengeluar musim lalu, menjadikan mereka satu-satunya pasukan yang masih memegang status konsesi D bagi musim 2026 untuk membolehkan pembangunan teknikal tanpa had. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI