fbpx
BADRUL HISHAM diiringi Pegawai SPRM selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menyalahgunakan wang berjumlah RM10,000. Foto oleh ARIF HAMIZAN MISKON/KOSMO!

Profesor UTeM didakwa songlap duit persatuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang profesor di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan wang sebuah persatuan institusi itu, Februari lalu.

Tertuduh, Badrul Hisham Ahmad, 50 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus satu pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dihadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga Presiden Persatuan Staf Akademik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeMASA) didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan wang bernilai RM10,000 milik persatuan itu dengan cara membuat pembayaran kos guaman kepada sebuah syarikat guaman.

Tindakan itu dibuat tanpa kelulusan Majlis Eksekutif UTeMASA sepertimana yang dikehendaki oleh Fasal 10 Kewangan Perkara 4 dalam perlembagaan persatuan itu. Perbuatan itu dilakukan menerusi transaksi bank pada 25 Februari 2025 lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh yang merupakan pensyarah di Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektronik dan Komputer itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan dia boleh dikenakan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Julieana Yahaya mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh.

Beliau turut memohon syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM sehingga kes selesai dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Ahmad Soleh Yusof yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan atas alasan anak guamnya sentiasa memberi kerjasama penuh kepada SPRM sepanjang siasatan dijalankan, selain jaminan akan dibuat oleh isterinya yang hanya merupakan suri rumah.

Elesabet kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM 7,000 dengan seorang penjamin dan bersetuju atas syarat tambahan dipohon oleh pihak pendakwaan.

Beliau turut menetapkan tarikh 30 Januari depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI