GUA MUSANG – Penduduk Kelantan melahirkan rasa teruja susulan keputusan membuka lesen mendulang emas kepada rakyat kelahiran Negeri Kelantan mulai Januari ini.
Rata-rata penduduk ditemui meluahkan rasa tidak sabar untuk menghantar permohonan bersama-sama ahli keluarga dalam mencari rezeki tambahan.
Seorang penduduk, Shafien Mamat, 55, berkata, syarat menetapkan permohonan lesen hanya untuk rakyat Kelantan adalah satu langkah tepat bagi memastikan kekayaan negeri itu dikongsi bersama rakyat.
Katanya, keputusan kerajaan negeri itu membolehkan mereka mencari emas secara terbuka.
“Sebelum ini, saya melakukan aktiviti itu secara sembunyi kerana bimbang dengan kehadiran pihak berkuasa. Sebelum ini bimbang syarat terlalu ketat dan turut membenarkan orang luar datang mencari hasil emas di kawasan perkampungan kami,” katanya.
Penduduk lain, Mohd. Ismail Mohd. Sulaiman, 40, berkata, bayaran sebanyak RM100 ditetapkan adalah berpatutan dengan purata hanya RM8 sebulan perlu dibayar oleh pemegang lesen.
“Saya sudah tidak sabar untuk memohon lesen mendulang emas pada Januari ini bagi menjalankan aktiviti bersama penduduk lain dalam mencari pendapatan sampingan,” katanya.
Dalam pada itu di Kota Bharu, Zamri Che Pa, 48, berkata, dia tidak mahu ketinggalan dan akan mengemukakan permohonan lesen mendulang emas bersama anak lelakinya.
Katanya, kerja-kerja mendulang emas akan dibuat bersama ahli keluarga selepas selesai menoreh getah dengan perolehan emas berbaloi antara RM20 hingga RM30 sehari.
Bagi Ahmad Zakaria, 48, pula dia sudah lama mendulang emas secara senyap-senyap di Sungai Kampung Lalat sejak 10 tahun lalu secara suka-suka mengisi masa lapang.
“Boleh dikatakan seramai 10 penduduk datang secara senyap-senyap dan mencuba nasib mendulang emas di situ setiap hari.
“Sejujurnya, saya mampu mendapat emas mentah seberat 0.5 gram sekiranya mendulang emas setiap hari dalam tempoh seminggu. Selepas itu, ada pihak lain yang datang ke kampung ini untuk membeli emas mentah seberat itu pada harga RM200,” katanya di sini baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE















