KUANTAN – Pahang berada pada landasan kukuh sebagai sebuah negeri makmur, progresif dan berdaya saing, didorong pertumbuhan ekonomi yang stabil, peningkatan hasil serta pelaksanaan projek berimpak tinggi.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kutipan hasil kerajaan negeri berada pada tahap membanggakan dengan terus melepasi angka RM1 bilion untuk empat tahun berturut-turut sejak tahun 2022.
Katanya, kejayaan itu turut selari dengan rekod Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pahang yang meningkat 23 peratus dalam tempoh 2019 hingga 2024 hasil daripada dasar pembangunan negeri yang strategik dan mampan.
“Kejayaan ini meletakkan negeri Pahang dalam laluan untuk mencapai status berpendapatan tinggi, hasil daripada kestabilan politik dan perpaduan rakyat yang menjadi asas utama kepada perancangan pembangunan yang berkesan.
“Dalam melaksanakan amanah mengurus tadbir negeri, kerajaan negeri sentiasa membudayakan prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta sebagai panduan utama dalam setiap keputusan demi kesejahteraan rakyat,”katanya ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2026 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Menurutnya, pada tahun lalu, negeri Pahang mencatat pertumbuhan KDNK 5.7 peratus melepasi paras nasional 5.1 peratus dengan nilai RM68.7 bilion yang dipacu oleh sektor perkhidmatan, pembuatan, perlombongan dan pengkuarian serta pertanian.
Dalam pada itu beliau berkata, syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC) turut memainkan peranan penting dengan menyumbang RM3.16 bilion atau 4.6 peratus kepada KDNK Pahang tahun lalu melalui sembilan syarikat induk dan Badan Berkanun Negeri serta 49 anak syarikat.
Katanya, dalam aspek pelaburan, negeri Pahang terus menjadi destinasi pilihan di mana sehingga November tahun ini, jumlah pelaburan komited yang masuk adalah sebanyak RM18.04 bilion melebihi sasaran RM14.09 bilion, sekaligus membuktikan keyakinan pelabur terhadap keupayaan negeri mengurus kestabilan politik dan iklim perniagaan yang kondusif.
Tambahnya, dalam aspek tenaga buruh, jumlah guna tenaga di Pahang meningkat kepada 788,800 orang pada suku ketiga tahun ini berbanding 768,600 orang pada tahun 2024.
“Kadar pengangguran pula menurun daripada 16,700 orang atau 2.2 peratus pada tahun 2024 kepada 13,800 orang atau 1.7 peratus pada suku ketiga tahun 2025, hasil limpahan peluang pekerjaan melalui pelaburan yang rancak serta pembangunan ekonomi yang berterusan.
“Selain itu, kerajaan negeri sekali lagi menerima pengiktirafan melalui penganugerahan Sijil Ketua Audit Negara bagi Pendapat Tanpa Teguran untuk Penyata Kewangan Tahun 2024 yang merupakan bukti jelas bahawa Kerajaan Negeri mengamalkan tadbir urus kewangan yang cekap, telus dan berintegriti,”ujarnya.- KOSMO! ONLINE














