KUALA LUMPUR – Seramai 12 rakyat Malaysia yang berjaya meloloskan diri dari sebuah pusat sindiket penipuan di Sunda, Myanmar kini dilaporkan terkandas di tebing Sungai Moi berhampiran sempadan Mae Sot, Thailand sejak lebih 10 hari lalu.
Menurut Setiausaha Malaysian Humanitarian Organisation (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, kesemua mereka berada dalam keadaan amat kritikal selepas diusir berikutan pertempuran antara kumpulan bersenjata di kawasan terbabit.
Mereka kemudian terpaksa berlindung di tepi sungai dalam cuaca sejuk antara 13 hingga 17 darjah Celsius tanpa bekalan makanan mencukupi.
Katanya, kumpulan itu berkali-kali cuba menyeberangi sungai untuk memasuki Thailand bagi mendapatkan perlindungan, namun dihalang pihak tentera negara itu. Dalam beberapa percubaan, anggota tentera didakwa melepaskan beberapa das tembakan amaran selain mengarahkan mangsa kembali ke tebing sungai.
“Mereka duduk tepi sungai, tiada bangunan, tiada khemah. Setiap kali cuba masuk Thailand, tentera tahan, halang, ada yang ditendang masuk sungai,” katanya pada sidang akhbar di pejabat MHO di sini hari ini.
Katanya, situasi semakin meruncing apabila mangsa turut terdedah ancaman peperangan yang masih berlaku di kawasan berhampiran.
Difahamkan, seramai 33 rakyat Malaysia berada di lokasi sama, namun 12 daripada mereka pernah tampil memohon bantuan MHO sebelum ini. Wakil MHO sudah menyerahkan maklumat mereka kepada pihak berkuasa Thailand melalui Ratchamanu Task Force sebelum konflik di kawasan itu memuncak.
“Mereka mangsa pemerdagangan manusia, bukan penjenayah. Tetapi kenapa masih tidak dibantu? Ini isu kemanusiaan, bukan isu politik,” tegasnya.
Dalam pada itu, bapa mentua mangsa, Eyu Yok Lin, 61, turut merayu campur tangan segera kerajaan Malaysia bagi membawa pulang rakyat kita yang terperangkap di kawasan berkenaan.
Katanya, menantunya dibawa ke Myanmar lebih setahun lalu sebelum dikurung oleh sindiket, namun selepas bebas, mangsa terperangkap pula di tepi sungai tanpa perlindungan dan makanan yang mencukupi.
Yok Lin berkata, situasi di tebing sungai makin membimbangkan kerana menantunya terdedah bunyi tembakan dan bom dari kawasan konflik berhampiran, selain sudah kehabisan tenaga dan tidak berdaya untuk terus menunggu.
“Kami mohon kerajaan segera campur tangan. Jangan tunggu sehingga ada yang mati kesejukan atau tenggelam,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, MHO telah menghantar surat rasmi kepada Kedutaan Malaysia di Thailand bagi memohon tindakan segera untuk mengeluarkan kesemua mangsa dan membawa mereka ke lokasi selamat.
Pertubuhan itu juga memohon supaya kedutaan mengeluarkan permohonan rasmi kepada Ratchamanu Task Force agar operasi menyelamat dapat dijalankan mengikut prosedur pihak berkuasa Thailand.
“Kita mahu kerajaan percepatkan tindakan. Mereka ini rakyat kita, ada keluarga, ada anak isteri yang menunggu. Jangan biarkan mereka kebuluran dan kesejukan di tepi sungai begitu sahaja,” tegasnya.- KOSMO! ONLINE.














