fbpx
Kaitan menggunakan umpan hidup punca anak mulut sumbing adalah khurafat dan kepercayaan bidaah yang haram dipercayai serta wajib ditinggalkan.

Memancing guna umpan hidup punca anak sumbing?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Berkenaan hukum memancing dengan menggunakan umpan hidup seperti memancing ikan dan menggunakan umpan udang yang masih hidup disangkutkan pada mata kail atau menggunakan cacing. Apakah hukum tersebut dan pendapat mengenai seorang suami memancing dalam keadaan isteri sedang sarat mengandung. Sering dikaitkan oleh masyarakat bahawa anak dalam kandungan selalunya dilahirkan dalam keadaan sumbing mulut akibat memancing.

JAWAPAN: BERKENAAN isu ini, suka kami menyatakan bahawa manusia perlu bersikap ihsan kepada semua yang wujud selainnya. Inilah kesempurnaan iman dan Islam. Daripada Abu Hurairah RA bahawa para sahabat pernah bertanya kepada Baginda SAW:

“Wahai Rasulullah apakah kita mendapat pahala (bila berbuat baik) pada binatang?” Beliau bersabda: “Pada setiap yang bernyawa, ada pahalanya.”

Riwayat Bukhari (2363) dan Muslim (2244). Daripada Syaddad RA bahawa Nabi SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan ihsan atas setiap perkara. Maka apabila kamu membunuh, bunuhlah dengan baik. Dan apabila kamu menyembelih, sembelihlah dengan baik.

Tajamkanlan alat sembelihan dan tenangkanlah haiwan sembelihan”. Riwayat Muslim (1955)

Justeru, tanggungjawab manusia selaku khalifah di atas muka bumi ini adalah membunuh dengan baik dengan meminimumkan penderitaan haiwan yang disembelih atau dibunuh. Bahkan jika bunuhnya itu untuk hiburan atau sia-sia, maka hukumnya haram dan dilaknat.

Daripada Abdullah bin Amr RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa membunuh burung-burung kecil tanpa hak, Allah akan meminta dia bertanggungjawab tentang itu di Hari Kiamat.”Riwayat Ahmad (6551)

Ini merupakan peringatan keras kepada mereka yang gemar berburu bukan untuk tujuan makan atau menghilangkan mudarat, sebaliknya seronok menyiksa dan terhibur membunuh seperti mana yang menjadi adat di sebahagian tempat.

Adapun soalan yang diajukan, yakni menggunakan umpan hidup daripada haiwan yang tidak haram dibunuh seperti katak yang haram dibunuh berdasarkan nas tetapi menggunakan udang atau ikan hidup atau cacing, maka ini memerlukan perincian.

Dalam Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (5/131) ada menyebut:

“Jika diambil ikan itu secara hidup-hidup tidak boleh memakannya sehingga ia mati atau dimatikan seperti mana yang disebut oleh Hanafiyyah dan Hanabilah. Dan dimakruhkan jika dimakan hidup-hidup kerana hal itu mengazab tanpa keperluan kerana ia mati dengan cepat justeru elok ditunggu sehingga mati dengan sendiri.”

Imam al-Nawawi menyebut dalam kitab al-Majmu` (9/73):

“Kalau seseorang menelan seekor ikan hidup-hidup atau memotong sebahagian daripadanya kemudian memakannya maka terdapat dua wajah. Pertama, makruh dan tidak haram, manakala pandangan yang kedua adalah haram sepertimana yang diputuskan oleh Abu Hamid (Imam al-Ghazali).” Berdasarkan keterangan ini, diqiyaskan bahawa tidak haram menggunakan umpan udang hidup atau cacing tetapi makruh kerana demikian membuatnya mati dengan lambat. Firman Allah Taala:

“Dan Ia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadaNya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti.Surah al-Jathiah, (45:13). Sebaiknya dibunuh dahulu udang atau cacing itu dengan cara yang ihsan seperti memotong pada bahagian yang kritikal, melemaskannya dan sebagainya. Manakala kaitan menggunakan umpan hidup punca anak mulut sumbing adalah khurafat dan kepercayaan bidaah yang haram dipercayai serta wajib ditinggalkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN