JAKARTA – Satu klip video tular di Aceh memaparkan detik seorang lelaki bertenggek di atas tiang konkrit selama tujuh jam selepas lokasi kejadian dilanda banjir kilat, lapor portal berita INews.
Rakaman video dimuat naik di platform Thread menunjukkan pemuda tidak dinamakan itu cuba mengikat tali pada besi yang menjulur keluar daripada konkrit.
Wajah pemuda itu bukan sahaja pucat, namun badan dan kedua-dua kakinya menggeletar akibat kesejukan serta keletihan.
Dia bagaimanapun terselamat selepas meredah air deras sambil berpaut pada tali yang diikat.
“Ikatkan tali pada badan anda!” kata seorang wanita yang berada di atas sebuah bumbung berhampiran tiang konkrit tersebut..
Rakaman itu mencatatkan lebih 27,000 tanda suka dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Seperti tsunami 2004,” kata seorang netizen.
“Ya Allah, air itu sangat deras!” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














