KUALA LUMPUR – Malaysia menguasai Anugerah Pemain Terbaik Tahunan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) tahun ini apabila mendapat enam pencalonan.
Empat daripadanya merupakan pencalonan dalam acara beregu manakala dua lagi menerusi kategori para.
Mengetuai senarai pencalonan adalah beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang melakar sejarah muncul juara pada Kejohanan Badminton Dunia di Paris, Perancis Ogos lalu.
Pencabar mereka bagi anugerah tersebut adalah dua wakil China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dan Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin serta beregu Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran.

Pearly Tan-M. Thinaah yang mencatat sejarah menjadi beregu wanita pertama memenangi pingat perak Kejohanan Dunia turut berada dalam pencalonan bersama Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China serta dua gandingan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee dan Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong.
Bagi anugerah beregu lelaki, Malaysia memiliki dua wakil menerusi Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani bagi mencabar Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan serta beregu Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
Sementara itu, dalam kategori para, juara dua kali Paralimpik, Cheah Liek Hou dicalonkan untuk anugerah perseorangan lelaki SU5 serta beregu lelaki bersama Muhammad Fareez Anuar.

Pemenang bagi kesemua anugerah yang dipertandingkan akan diumumkan pada malam gala Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2025 di Hangzhou, China 15 Disember nanti. – KOSMO! ONLINE














