KUALA LUMPUR – Komposer tersohor Datuk M. Nasir mengekalkan kedudukan sebagai Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi pada Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) 2025 di sini, malam tadi.
Maestro muzik legenda itu mengenepikan pesaing terdekat, Saari Amir serta Ezra Kong, sekali gus mempertahankan anugerah yang pernah dimenanginya, tahun lalu.
Katanya, pengiktirafan yang diterima adalah hasil sokongan insan sekeliling termasuk keluarga serta rakan seindustri.
“Saya bersyukur kepada Tuhan, berterima kasih kepada keluarga, isteri anak-anak,” katanya selepas menerima hadiah kemenangan.
Selain itu, M Nasir turut memenangi kategori Lagu Pendapatan Luar Negara Tertinggi menerusi lagu Tiara mengatasi dua calon lain iaitu Gatal (Aepul Roza) serta Qing Fei De Yi (Tang Xiao Kang/Zhang Guo Xiang).
Begitupun, syarikat rakaman milik M. Nasir, Luncai Emas Sdn. Bhd. terpaksa menyerahkan takhta Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Tertinggi kepada Taja Archive Sdn Bhd.
Bagi kategori Lagu Melayu Persembahan Tertinggi, kemenangan diberikan kepada Sayunk I Love You ciptaan Hari, lirik Ajim Maze.
Lagu Inggeris Persembahan Tertinggi pula dimenangi Old Love nukilan komposer dan Penulis Lirik oleh Yuji.
Tahun ini sekali lagi komposer dan penulis Firdhaus memenangi kategori Lagu Cina Persembahan Tertinggi apabila menyerlah dengan karya Zai Jia Na Gong He Guo Li Hun.
Kategori Lagu Tamil Persembahan Tertinggi berpihak kepada Yennode Macha nukilan Zubir Khan & Music Kitchen, lirik juga Zubir Khan.
Pencipta lagu berusia 25 tahun itu juga membawa pulang gelaran Komposer Muda Berpotensi.
Sementara itu, Penerbit Dengan Pendapatan Tertinggi adalah Warner Chapel Music mengenepikan Sony Music Publishing sekali gus mengambil posisi Universal Music Publishing yang membawa pulang kemenangan itu pada edisi lalu.
Pada acara sama, kategori Lagu Luar Negara Persembahan Tertinggi diraih Dawai ciptaan sepenuhnya komposer Indonesia, Hendro Djasmoro.
Anugerah khas, Nadi Cipta diberikan komposer Eddie Hamid atau nama sebenarnya, Abdul Hamid Adenan, 63, atas pelbagai sumbangan dalam bidang muzik.
Anugerah MACP 2025 bagi tahun ke-36 itu dikendalian pengacara, Hunny Madu selain diserikan persembahan Ella, Ezad Lazim, Iman Troye, Firdhaus serta Sophia Liana. – KOSMO! ONLINE














