GOMBAK – Polis menahan lima lelaki tempatan susulan kejadian pergaduhan yang membawa kepada kematian seorang lelaki di Batu Caves, di sini, 2 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 12.22 tengah hari selepas menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 36 tahun yang memaklumkan suaminya bergaduh dengan adik lelakinya.
“Mangsa mengalami kecederaan serius dan telah dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 5.32 petang hari yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, polis menahan lima lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 43 tahun bagi membantu siasatan, manakala 13 lagi suspek masih dikesan.
“Kesemua suspek yang ditahan direman selama lima hari bermula 3 hingga 7 Disember 2025,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah IPD Gombak, ASP Mazlan Ali di talian 013-273 4070 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-6126 2222. – KOSMO! ONLINE














